Sunday 25 May 2014

Permainan Tradisional Etnik Sarawak (Anjung- Batu Seremban)

Permainan Anjung
Permainan Anjung merupakan permainan yang mudah dan sering dimainkan di anjung-anjung rumah sahaja dan memerlukan pergerakan yang terbatas. Contohnya; batu seremban, congkak, dam haji dan sebagainya. Manakala permainan laman pula terdiri daripada jenis permainan yang memerlukan kawasan yang luas, pergerakan yang lincah dan aktif seperti galah panjang, sepak raga, kabbadi dan sebagainya.

-Batu Seremban
Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Kanak-kanak perempuan gemar memainkannya secara individu dan kebiasaannya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih.

Permainan Tradisional Etnik Sabah (Sepak Manggis)

Sabah: Sepak Manggis
Sepak Manggis adalah satu sukan tradisi yang diadakan semasa pesta karamaian, seperti majlis perkahwinan. Dalam majlis perkahwinan, sepak manggis ini akan diadakan di kawasan lapang berhampiran dengan rumah pengantin. Permainan ini melibatkan satu tiang yang diperbuat daripada bambu. Bambu itu dipacakkan di atas tangga dengan ketinggian lebih kurang 25 kaki. Di atas bambu tersebut, diperbuat satu pacak yang menggantung satu kotak yang dihiasi dengan kain/kertas berwarna warni. Di dalam kotak itu, dimasukkan hadiah menarik, yang biasanya berupa wang ringgit. Permainan ini dimainkan dengan seorang menendang bola "sepak takraw" yang diperbuat daripada rotan dengan menendang cara bermain sepak takraw. Bezanya ialah bola itu akan ditendang ke atas, dan sasarannya ialah kota berwarna-warni yang mengandungi wang hadiah di atas.
Sebelum dimainkan permainan ini, mempelai lelaki dan perempuan akan merasmikannya dengan berjalan mengelilingi tiang bambu itu, bersama-sama dengan pengapit-pengapit mereka sebanyak tujuh (7) kali. Ini akan diikuti dengan pengantin lelaki itu sendiri akan menendang bola takraw itu, yang dibalingkan oleh pasangan/isterinya. Percubaan boleh dibuat sebanyak tujuh (7) kali. Ini sekaligus dapat menarik perhatian orang ramai dan menandakan bahawa permainan sepak manggis ini telah bermula.
Peraturannya ialah agak terbuka. Sesiapa sahaja boleh menyertainya walaupun kaum wanita agak keberatan untuk menyepak bola tersebut. Pun begitu, adat istiadat mahukan supaya kanak-kanak yang kecil memulakan, dan kemudiannya diikuti oleh remaja, dan akhirnya orang dewasa. Selepas itu, ia terbuka kepada sesiapa sahaja. Sesiapa yang menendang bola itu dan berjaya mengenakan sasaran kota berwarna-warni, maka dialah yang akan mendapat hadiah tersebut. Oleh kerana tiang bambu itu tinggi, maka adalah agak sukar bagi mereka untuk menepati sasaran. Permainan ini boleh dibuat sepanjang hari, sehinggalah ada yang berjaya menepati sasaran. Hadiahnya agak lumayan dan biasanya hadiah itu disediakan oleh pengantin lelaki. Adalah dipercayai pada Majlis Perkahwinan di Tempasuk 1 itu, hadiahnya berupa wang tunai sebanyak RM1,000.00.
Permainan sepak manggis ini adalah sukan tradisi warisan masyarakat Kadazandusun Tindal dan Bajau yang tinggal berhampiran. Budaya kedua-dua masyarakat ini telah diadunkan dan permainan sepak manggis ini diwujudkan sebagai satu acara memeriahkan suasana sambil memupuk semangat persaudaraan dan perpaduan.
Sukan ini adalah sangat menarik dan mempunyai unsur-unsur budaya yang simbolik. Ianya harus diteruskan, dipromosi dan diwarisi oleh generasi muda, baik masyarakat Kadazandusun mahupun masyarakat Bajau.