Sunday, 20 July 2014

Permainan Tradisional Etnik Sarawak ( Tibow )


Tibow-sejenis permainan tradisi masyarakat Melanau yang sangat popular. Dikenali sebagai Pisa' Tibow, permainan ini dilangsungkan oleh masyarakat kampung sebagai simbol perpaduan dan bersuka ria di samping menyambut ketibaan musim buah. Dan sebagai pemainan yang digemari ramai-waktu inilah anak-anak muda berkaul - ia sebenarnya merupakan pesta untuk mencari jodoh.
Tibow lazimnya dimainkan di kawasan tanah lapang, belakang atau hujung kampung. Biasanya, tapak untuk permainan tersebut haruslah lembut dan tidak mempunyai batu-batu kerikil yang keras. Bahkan di sesetengah tempat, diletakkan pasir untuk mengelakkan para pemain yang jatuh hayunan daripada mendapat sebarang kecederaan parah.
Diadakan pada musim buah, lazimnya pada awal tahun, tibow dimainkan bermula pada waktu petang, hingga kadang-kadang sehingga larut malam. Pada zaman dahulu, penduduk akan bermain pada waktu bulan mengambang, kerana pada waktu inilah suasana di sekitar tapak permainan tampak terang. Dan dari segi keselamatan, ia akan memudahkan permainan tersebut.
Bermain tibow mengikut tradisi Melanau Mukah, tidaklah semudah seperti yang dilihat. Terdapat beberapa pantang larang dan tradisi yang perlu diikuti untuk membolehkan si pemain bermain dengan selamat. Bahkan untuk mendirikan peralatannya pun harus dengan tertib dan istiadatnya sendiri. Ini termasuklah dengan menyediakan bubur kacang dan penglibatan tenaga yang banyak.
Sebanyak dua tiang kayu yang masing-masingnya panjang melebihi 30 kaki diperlukan untuk pembinaan tiang tibow ini, selain beberapa batang kayu sederhana sebagai tangga rak. Rotan sega dan daun muda pula digunakan untuk membentuk penghayun manakala set canang dan gendang melela pula dipalu bagi memeriahkan dan menambahkan gempar suasana.
Semasa mengangkat untuk mendirikan kedua-dua tiang itu, pantun dinyanyikan beramai-ramai: Kat kerakat, Kerurieng udat, Tibow idei pada 'mekat'  Pantun ini merupakan pemujaan kepada ipo' tibow atau dewa yang menguasai permainan tibow dan bertujuan meminta pertolongan untuk memudahkan tugas-tugas mendirikan tiang itu.      
Rujukan : Permainan Tradisional Etnik Sarawak

Permainan Tradisional Etnik Sarawak (Anjung- Congkak)

Congkak adalah sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji saga, biji salak, biji getah, biji guli dan lain-lain. Permainan ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, dan tersebar meluas di ‘Dunia Melayu’.

Wednesday, 4 June 2014

Permainan Tradisional Etnik Sarawak (Anjung- Dam Haji)

Dam Haji
Permainan ini melibatkan dua orang pemain sahaja bagi satu pihak pasukan.  Peralatannya ialah papan dam berpetak berlainan warna secara berselang dan dua puluh empat biji buah dam atau tir (yakni dua belas biji untuk setiap permainan)  dengan warna yang berbeza.

Sunday, 25 May 2014

Permainan Tradisional Etnik Sarawak (Anjung- Batu Seremban)

Permainan Anjung
Permainan Anjung merupakan permainan yang mudah dan sering dimainkan di anjung-anjung rumah sahaja dan memerlukan pergerakan yang terbatas. Contohnya; batu seremban, congkak, dam haji dan sebagainya. Manakala permainan laman pula terdiri daripada jenis permainan yang memerlukan kawasan yang luas, pergerakan yang lincah dan aktif seperti galah panjang, sepak raga, kabbadi dan sebagainya.

-Batu Seremban
Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Kanak-kanak perempuan gemar memainkannya secara individu dan kebiasaannya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih.

Permainan Tradisional Etnik Sabah (Sepak Manggis)

Sabah: Sepak Manggis
Sepak Manggis adalah satu sukan tradisi yang diadakan semasa pesta karamaian, seperti majlis perkahwinan. Dalam majlis perkahwinan, sepak manggis ini akan diadakan di kawasan lapang berhampiran dengan rumah pengantin. Permainan ini melibatkan satu tiang yang diperbuat daripada bambu. Bambu itu dipacakkan di atas tangga dengan ketinggian lebih kurang 25 kaki. Di atas bambu tersebut, diperbuat satu pacak yang menggantung satu kotak yang dihiasi dengan kain/kertas berwarna warni. Di dalam kotak itu, dimasukkan hadiah menarik, yang biasanya berupa wang ringgit. Permainan ini dimainkan dengan seorang menendang bola "sepak takraw" yang diperbuat daripada rotan dengan menendang cara bermain sepak takraw. Bezanya ialah bola itu akan ditendang ke atas, dan sasarannya ialah kota berwarna-warni yang mengandungi wang hadiah di atas.
Sebelum dimainkan permainan ini, mempelai lelaki dan perempuan akan merasmikannya dengan berjalan mengelilingi tiang bambu itu, bersama-sama dengan pengapit-pengapit mereka sebanyak tujuh (7) kali. Ini akan diikuti dengan pengantin lelaki itu sendiri akan menendang bola takraw itu, yang dibalingkan oleh pasangan/isterinya. Percubaan boleh dibuat sebanyak tujuh (7) kali. Ini sekaligus dapat menarik perhatian orang ramai dan menandakan bahawa permainan sepak manggis ini telah bermula.
Peraturannya ialah agak terbuka. Sesiapa sahaja boleh menyertainya walaupun kaum wanita agak keberatan untuk menyepak bola tersebut. Pun begitu, adat istiadat mahukan supaya kanak-kanak yang kecil memulakan, dan kemudiannya diikuti oleh remaja, dan akhirnya orang dewasa. Selepas itu, ia terbuka kepada sesiapa sahaja. Sesiapa yang menendang bola itu dan berjaya mengenakan sasaran kota berwarna-warni, maka dialah yang akan mendapat hadiah tersebut. Oleh kerana tiang bambu itu tinggi, maka adalah agak sukar bagi mereka untuk menepati sasaran. Permainan ini boleh dibuat sepanjang hari, sehinggalah ada yang berjaya menepati sasaran. Hadiahnya agak lumayan dan biasanya hadiah itu disediakan oleh pengantin lelaki. Adalah dipercayai pada Majlis Perkahwinan di Tempasuk 1 itu, hadiahnya berupa wang tunai sebanyak RM1,000.00.
Permainan sepak manggis ini adalah sukan tradisi warisan masyarakat Kadazandusun Tindal dan Bajau yang tinggal berhampiran. Budaya kedua-dua masyarakat ini telah diadunkan dan permainan sepak manggis ini diwujudkan sebagai satu acara memeriahkan suasana sambil memupuk semangat persaudaraan dan perpaduan.
Sukan ini adalah sangat menarik dan mempunyai unsur-unsur budaya yang simbolik. Ianya harus diteruskan, dipromosi dan diwarisi oleh generasi muda, baik masyarakat Kadazandusun mahupun masyarakat Bajau.